Tuesday, November 22, 2011

Sudah Semak Status Agama Pada Kad Pengenalan Anda?

Semalam wakdan baca satu artikel di akhbar Sinar Harian yang ingin dikongsi dalam entry kali ini. Ia berkenaan status agama pada kad pengenalan.

Berita tersebut adalah berkenaan seorang lelaki di Pulau Pinang yang bernama Mohd Nordin Mohd Tahir. Dia tidak perasan tentang kesilapan status agama dalam kad pengenalannya. Status agamanya tercatit "Budha" sedangkan beliau merupakan seorang Islam semenjak lahir.

Pakcik tersebut amat terkilan dengan kesilapan yang berlaku kerana melalui semakan yang dibuat, tidak berlaku kesilapan semasa mengisi borang. Dia bercadang hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertanggungjawab terhadap urusan kad pengenalan.

Masalah ini mungkin nampak remeh temeh tetapi mempunyai kesan yang sangat besar terutamanya jika berlaku kematian.

"Mujur saya tahu awal. Kalau saya mati dulu tanpa mengetahui perkara sebenar, apa akan jadi? Pasti semuanya akan jadi kucar kacir.", katanya.

Salah satu moral of the story, sentiasa semak segala butiran setelah membuat sebarang urusan samada di jabatan-jabatan kerajaan atau institusi kewangan.

Pada pengamatan wakdan (termasuk diri sendiri he he), rakyat Malaysia kurang prihatin untuk membuat semakan butiran setelah membuat sesuatu urusan. 

So, anda sudah semak status agama dalam kad pengenalan?


Wednesday, November 16, 2011

Anda Bernikah Di Mana?

Ada dua perkara menarik yang wakdan nak gebang-gebang hari ini sebagai peringatan (tazkirah) kita bersama sebagai umat Islam. Kedua-dua perkara ini dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian dan Kosmo.


Pertama, berkenaan adab-adab di masjid yang tidak dijaga oleh pengantin atau ahli keluarga mereka sewaktu acara pernikahan di masjid. Wakdan dulu pun diakad nikahkan di sebuah masjid di Simpang 5, Sungai Besar iaitu pada tanggal 17 hb November 16 tahun yang lalu. Ya, benar esok merupakan ulang tahun atau anniversary perkahwinan wakdan.

Amat malang sekali jika umat Islam sendiri tidak menghormati institusi masjid dengan tidak menjaga adab apabila berada di masjid.  Apakah contoh-contohnya? Berpakaian menjolok mata, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan terutamanya yang bukan mahram, bising, meninggalkan masjid sebaik tiba waktu bersolat dan tidak menutup aurat. 

Itu belum dikira adab-adab yang lain. Adab-adab yang sewajarnya dilakukan oleh seorang insan muslim. Di antara adab-adab tersebut adalah masuk dengan kaki kanan sambil berdoa, bersembahyang sunat tahyatul masjid dan berada di dalam masjid dalam berwuduk.

Doa masuk masjid

Seharusnya pengantin yang bernikah di masjid menjaga adab-adab seperti berdoa ketika masuk ke masjid. Jika tidak mampu membaca doa yang panjang seperti di atas, bacalah doa yang pendek. Jika tidak ingat bait-bait doa dalam Bahasa Arab, setidak-tidaknya bacalah doa Bahasa Melayunya, "Ya Alah! Bukakanlah pintu-pintu rahmatMU bagiku". Allah sudah sepastinya faham bahasa apa jua di dalam dunia ini.

Diharapkan ahli keluarga pengantin yang lebih tua dan arif tentang adab-adab di masjid agar dapat memberi pesanan, mengajar dan memberitahu tentangnya serta menegur jika dilanggar. Budaya tegur menegur dan pesan memesan telah hilang dari budaya dan amalan kita. Marilah bersama-sama kita kembalikan budaya murni ini demi agama suci kita. 

Kedua, tentang anak luar nikah. Sinar Harian melaporkan bahawa seramai 152, 182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari tahun 2008 hingga 2010. Masya Allah. Bukan satu jumlah yang kecil. Itu hanya yang direkodkan. Yang tidak direkodkan? 

Wakdan amat bersedih kerana Selangor negeri kelahiran telah mencatatkan angka kedua tertinggi di belakang Sabah dengan sejumlah 18, 983 anak haram atau bastard dalam bahasa Inggerisnya.

Apakah maknanya semua ini? 

Mari kita renung-renungkan. Mari kita fikir-fikirkan. Apakah punca-punca kepada masalah ini? Apa yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan jika boleh ke angka sifar jumlah anak luar nikah ini? 

Wallahua'lam.

Friday, October 21, 2011

Fahim Ikuti Program Bacaan Yasin



Girang hati wakdan malam tadi kerana Fahim si anak bongsu nak ikut ke masjid. Malam kelmarin dia turut serta mengaji bersama dalam kelas pengajian al-quran. 

Malam tadi malam Jumaat. Ada program membaca yasin di masjid seperti selalu. 

Teringat wakdan sewaktu umur sebaya Fahim di tahun-tahun 1970an di kampung. Insya Allah, wakdan bersama2 orang kampung akan turut serta aktiviti membaca yasin di rumah Kiyai Haji Shuhud, Imam kampung.

Apalah sangat aktiviti bagi kanak2 seperti wakdan ketika itu. Bukan ada astro yang siarannya 24 jam. Bukan ada internet untuk berfacebook atau menonton you tube. Bukan ada computer game hendak dimain.

Jadi, ke suraulah wakdan banyak menghabiskan waktu di sebelah malam terutamanya di malam Jumaat. Bermain-main dengan rakan sebaya samada di laman atau di dalam surau di waktu senggang. 

Tersenyum wakdan dibuatnya bila mendengarkan Fahim mengadu tak dapat mengikuti bacaan yasin yang dibaca secara bersama.

Setelah selesai solat Isyak, para jemaah berbaris untuk mengambil makanan. Agak istimewa menu minggu ini. "Mmmmm sedekah beberapa jemaah haji yang bakal menjadi tetamu Allah tahun ini" bisik hati wakdan.

Semoga mereka yang bersedekah itu akan selamat pergi dan selamat pulang serta mendapat haji yang mabrur. Insya Allah.

enak .. alhamdulillah .. rezeki 

Razip Idris .. 5 tahun, rakan sekelas 

Memandangkan meja-meja makan telah penuh, rakan wakdan, Razip (gambar di atas), ajak makan bersila di serambi masjid. Seronok juga sekali sekala makan bersila ...

Wednesday, October 19, 2011

Maha Besar Allah Yang Menciptakan Alam Yang Indah Dan Damai

Minggu lepas wakdan sekeluarga berkesempatan untuk menginap semalam di Kalumpang Resort yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Tanjung Malim.


Walaupun mempunyai masa yang sangat terhad untuk menikmati keindahan dan kedamaian alam ciptaan Allah S.W.T, sempat jugalah anak-anak wakdan bermain-main di sungai yang airnya deras mengalir. 


Walaupun airnya yang agak sejuk dan dingin di waktu pagi selepas subuh, mereka masuk dan redah juga. Sungguh girang hati mereka. Al-maklum sudah lama kami tidak cuti-cuti Malaysia dan berihlah


"Ayah, lain kali kita datang sini lagi ya!", kata Anis.

Allahu akbar .. air sungai mengalir yg mendamaikan 

Alhamdulillah dan segala puji-pujian ke atasMU ya Allah yang memberikan kami bermacam-macam nikmat terutamanya dapat menikmati keindahan dan kedamaian alam ciptaanMU.


Ya Allah, kau berilah kekuatan kepadaku untuk bangun di tengah malam yang dingin dan syahdu seperti di Kalumpang Resort ini untuk bersujud kepadaMU, tuhan sekalian alam. 

Friday, October 14, 2011

Muhasabah di Pagi Jumaat

Hari ini Jumaat, 14 Oktober.


Penghulu hari, Jumaat, datang lagi. Waktu menunjukkan hampir jam 11.00 pagi. Di Madinah ketika ini baru pukul 5.00 pagi. Ketika di Mekah masa musim haji lepas, di waktu-waktu begini wakdan sudah berada di Masjidil Haram. Jika datang pukul 11.00 pagi ke atas, sudah pasti tidak dapat berada di saf hadapan. Silap-silap hanya dapat saf berdekatan pintu masuk.

Tetapi di Malaysia, setengah jam sebelum azan berkemundang kita masih belum berada di masjid. Begitulah kelemahan kita sebagai umat Islam di zaman ini. Alangkah bagusnya jika budaya lewat ke masjid di hari Jumaat dapat diubah. Tetapi dapatkah ia berubah jika kebanyakan para bapa, pakcik dan dan abang tidak menunjukkan teladan yang baik?  

Teringat wakdan tentang fakta penyakit jantung sebagai punca kematian nombor wahid di Malaysia. Mengikut statistiknya, satu dari enam orang rakyat negara ini mendapat risiko penyakit tersebut. 

So, apa yang perlu kita buat untuk menjaga kesihatan? Jaga diet pemakanan adalah salah satu daripadanya. Teringat wakdan sewaktu di Mekah dahulu. Selain mengamalkan minum air zam-zam setiap waktu, wakdan juga memaksa diri untuk makan madu. Ya, madu. Sudah terbukti madu amat berkhasiat menurut kajian sains dan perubatan. Islam sendiri telah menyarankan  seperti firman Allah berikut dalam surah an-Nahl.



"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok- pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia."


"Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."


Jadi, marilah kita mengamalkan makan madu. Semoga kesihatan kita sentiasa terjaga dan baik agar kita dapat beribadah kepada Allah yang maha esa sebaik mungkin.

Tuesday, October 11, 2011

Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Jatuh Dari Tingkat 9 Hotel Al-Haram Madinah

Tidak semua berita kematian jemaah haji di tanah suci - Mekah dan Madinah, yang laporkan di media cetak dan elektronik. 

Tetapi berita tentang kematian seorang jemaah haji wanita dari Shah Alam Sabtu lepas telah mendapat perhatian pihak media negara ini. Dilaporkan jemaah wanita tersebut telah meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat 9 sebuah hotel di Madinah ketika waktu Asar (pukul 4 petang waktu tempatan).

Begitulah ajal dan maut seperti bila dan dimana hanya Allah yang menentukan. Semoga Allahyarhamah ditempatkan di kalangan hamba2NYA yang beriman dan bertaqwa. Al fatihah ...

Dikhabarkan nama hotel tersebut ialah Hotel Al Haram. Memang benar hotel tersebut menempatkan jemaah haji Malaysia disamping 2, 3 buah hotel yang lain. Wakdan (saya, dialek etnik Kampar) dan isteri tidak menetap di hotel tersebut yang sangat hampir dengan Masjid Nabawi. Malah hanya di hotel tersebut yang ada kaunter pengeluaran wang TH.  

Hotel Al Haram di Madinah tidak jauh dari laluan utama ke Masjid Nabawi

Diharapkan jangan ada yang takut atau tidak mahu ditempatkan di tingkat 9  hotel tersebut disebabkan kematian ini. Jangan takut dengan peristiwa ini. Tetapi takutlah kepada ALLAH. Ambillah peluang berada di Madinah dan Masjid Nabawi untuk membersihkan diri dari dosa dan noda. Bertaubat dan beristighfar banyak2 kepadanya. 

Lakukan solat2 sunat seperti tahajjud, taubat dan hajat, membaca al-Quran dan berzikir. Bersihkan jiwa, lapangkan dada dan menyerah dirilah kepadaNYA YANG MAHA ESA. 

Jangan semata-mata mengejar solat 40 waktu, tetapi cuba muhasabah diri, hayati dan fahami kehidupan dan kewajipan sebagai seorang muslim. Insya Allah, kita akan mendapat kemanisan dan kenikmatan menunaikan fardhu HAJI. 

Solat Jumaat Di Masjid Besi Putrajaya

Jumaat lepas yang jatuh pada tanggal 7hb Oktober, wakdan (saya, dialek etnik Kampar) bersolat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di Putrajaya. 

Cadangnya nak bersolat di Kuala Selangor untuk menjemput Anis dari asramanya. Tetapi memandangkan agak lewat beredar dari bangunan BHEUU yang bertentangan setelah selesai tugasan, terpaksalah wakdan tukar rancangan. Bagus juga kerana dapat bersolat Jumaat di masjid tersebut (kalau tak silap) for the first time. Sebelum ini sudah pernah bersolat waktu sambil membawa family jalan-jalan di Putrajaya.


masih ada ruang yg kosong

Selesai ambil wudhuk, wakdan dengan segera masuk ke ruang masjid. Walaupun khatib sudah bersedia untuk menyampaikan khutbahnya, wakdan masih berjaya berada dalam saf yang tidak jauh dari mimbar. Begitulah lazimnya di Malaysia. Walaupun ramai yang datang awal tetapi suka berada di saf-saf belakang atau diluar masjid.

Amat jauh berbeza di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Para jemaah akan datang awal dan berebut-rebut ke saf hadapan.

Alangkah indahnya dan amat menarik jika budaya datang awal ke masjid dan berebut-rebut memenuhi saf-saf hadapan berlaku di negara kita. Wakdan yakin budaya sedemikian boleh dipupuk apatah lagi telah ramai rakyat Malaysia yang telah menjadi tetamu Allah di Baitullah dan bumi anbiya'.

Bukankah kita ada semangat MALAYSIA BOLEH?  

Sunday, May 29, 2011

... Indahnya Hidayah di Bumi Baitullah ... keluaran Mastika


Sabtu, 28 Mei 2011

Hari ini aku sekeluarga pergi berbelanja di pasaraya Mydin di UEP Subang Jaya atau lebih dikenali sebagai USJ. Memang di pasaraya tersebut aku berbelanja setiap bulan membeli grocery. Sewaktu menunggu isteriku solat maghrib, aku ke kedai mamak penjual surat khabar. Cadang nak beli majalah mastika bagi menghilang kebosanan menunggu. Ketika membelek-belek majalah mastika bulan Mei dan Jun, konon-konon nak beli salah satu antaranya, mataku terpandangkan sebuah buku yang covernya seperti di bawah.

Semenjak pulang dari menjadi tetamu Allah pada musim haji yang lalu, sebarang buku mengenai tanah suci memang menjadi perhatianku. Begitulah penangan tanah suci kepada mereka yang pernah menjejakkan kaki. Dengan harga yang amat berpatutan, aku membeli buku tersebut. Lalu terus aku membacanya ketika menunggu pesanan makan malam.

Pesananku kepada yang belum pernah menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan Madinah, pasang-pasanglah niat untuk ke sana. Bermunajatlah kepadaNYA yang maha esa agar dipanggil menjadi tetamuNYA. Buatlah sembahyang sunat Hajat. Berdoalah agar diberikan rezeki dan peluang keemasan agar sampai ke bumi barakah tidak kira untuk buat Haji atau Umrah.

Aku juga amat berharap agar kembali menziarahi Baitullah dan Masjid Nabawi.