Monday, December 25, 2017

Masjid Nombor 4 - Masjid Sallehuddin Al Ayyubi Taman Melati KL

Hanya dua keping foto yang sempat Hj Saleh snap ketika solat Subuh di Masjid Sallehuddin Al Ayyubi, masjid nombor 4 dalam senarai Misi Hj Saleh Solat di Seribu Masjid, yang terletak di Taman Melati Kuala Lumpur pada subuh Jumaat, 1 hb Disember 2017. 

Hj Saleh sangat teruja dengan kehadiran jemaah yang ramai terutamanya untuk solat Subuh. Selepas solat Subuh di masjid ini, Hj Saleh mendapat job ke KLIA.

Jemaah solat subuh yang ramai di masjid ini, Alhamdulillah
Bilakah Masjid Sallehuddin Al Ayyubi dibina? Melalui pertanyaan "Pakcik Google", rekabentuk masjid yang berkonsepkan Timur Tengah dan moden ini telah dibina pada 17 Zulhijjah 1427H iaitu bersamaan dengan 8 hb Disember 2006. 

Ini bermakna,  pada 8 hb Disember yang lalu masjid ini telah genap berusia 11 tahun.

Lensa masjid di keheningan subuh

Masjid Nombor 3 - Masjid Al Mukhlisin Alam Damai Cheras

Dengan menggunakan aplikasi Waze, Hj Saleh mencari masjid yang paling dekat ketika selesai menurunkan penumpang di kawasan Alam Damai Cheras. Waze telah memaparkan Masjid Al Mukhlisin sebagai masjid yang paling terdekat. 

Hj Saleh telah singgah untuk solat maghrib di Masjid Al Mukhlisin ini pada hari Isnin, 27.11.2017. Masjid ini agak besar dan cantik. Kuliyyah maghrib sedang berlansung ketika itu. Hj Saleh solat maghrib bersendirian di sebelah belakang ruang solat masjid.

Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat Hj Saleh snap di masjid tersebut. Cantik tak masjid ini?

Penceramah sedang memberi kuliyyah maghrib

Ruang solat masjid yg cantik dan sangat selesa pada pandangan Hj Saleh

ruang solat masjid dari sudut sisi luar

Bunting satu program  di masjid ini

Hj Saleh berjaya menjejak laman blog masjid ini di URL -  http://almukhlisinalamdamai.blogspot.my
Menurut info dari laman blog tersebut, masjid yang dibina dengan kos sebanyak 13.5 juta Ringgit Malaysia ini boleh memuatkan 3000 orang jemaah dalam satu masa.

Masjid Al Mukhlisin ini merupakan sebahagian daripada sebuah kompleks yang juga memuatkan bangunan 4 tingkat kuarters dan 3 tingkat sekolah agama. Ia mula dibina pada 17 hb Mei 2007.

Agak sayang, laman blog masjid ini sudah tidak dikemaskini semenjak 2013 sehingga kini.

Masjid Nombor 2 - Masjid As Salam Pangsapuri Petaling Permai

Ketika di bulan November 2017, Hj Saleh masih belum jelas tentang info dan gambar-gambar yang perlu diambil untuk projek Misi Hj Saleh Solat di Seribu Masjid.

Masjid As Salam Pangsapuri Petaling Permai yang terletak di atas Jalan PJS 1/21 adalah masjid nombor dua dalam senarai. Hj Saleh singgah di masjid ini ketika kuliyyah maghrib sedang berlansung. Hj Saleh solat maghrib bersendirian di luar ruang solat masjid.

Tidak banyak foto-foto yang diambil untuk masjid nombor 2 dalam senarai ini.

Kuliyyah Maghrib sedang berlansung
 Foto di atas Hj Saleh snap dari luar ruang solat.

Sudut Infaq Jemaah

Sudut Infaq Jemaah merupakan salah satu keunikan masjid ini yang sangat berhampiran dengan beberapa buah pangsapuri.Tetapi amat sayang sekali, rak-rak di sudut ini kosong yakni tiada lagi barangan infaq untuk mereka yang memerlukan.

Pandangan pintu utama masjid dari luar
Signboard masjid ini (seperti gambar di bawah) agak menarik dan cantik bagi Hj Saleh. Nama masjid tertulis dengan jelas dan terang. Nama masjid ditulis dalam tulisan Rumi dan Jawi.

Signboard masjid

Saturday, December 23, 2017

It Is Something To Ponder

Semalam hari Jumaat 22.12.2017, satu kejadian agak aneh bagi Hj Saleh telah berlaku. Hj Saleh ternampak kucing di dua masjid yang berbeza - di Masjid Zaid Bin Thabit KL (Masjid Nombor 25) dan Masjid Jamek Jamaiyah Morib (Masjid Nombor 26).

kucing di Masjid Zaid Bin Thabit

kucing di Masjid Jamek Jamaiyah Morib

IT IS SOMETHING TO PONDER FOR HJ SALEH.

Wallahu a'lam.

106 Senses Hotel Banting

Monday, December 18, 2017

Masjid No 16 - Masjid Istiqlal Jakarta

Sebelum ini wakdan pernah mendengar tentang sebuah masjid yang sangat besar di kotaraya Jakarta. Masjid Istiqlal namanya. Dikhabarkan Masjid Istiqlal ini boleh memuatkan lebih seratus ribu orang jemaah dalam satu masa. Malah menurut pemandu pelancong kami yang bernama Eka Darka Triana, kapasiti Masjid Istiqlal ini adalah 200,000 orang. 

Sebelum bertandang ke Jakarta untuk kali kedua pada 11hb Disember 2017 yang lalu ketika menyertai Kembara Terapi Jakarta-Bandung 2017 bersama 25 orang ahli jemaah yang diketuai oleh Tuan Haji Anuar Yusof, aku telah membuat sedikit research tentang masjid ini.

Wakdan rasa sangat terharu apabila mula memasuki masjid ini. Sungguh sebak ketika bersujud di masjid ini apatah lagi wakdan memang sengaja berada di barisan pertama ruang solat utama. Wakdan solat jamak qasar zuhur-asar bersendirian ketika itu. 

Satu info yang agak mengejutkan wakdan ialah arkitek bagi Masjid Istiqlal ini adalah seorang non-muslim yang bernama Friedrich Silaban. Beliau merupakan arkitek yang terkenal di Indonesia dan telah merekacipta kira-kira 700 buah bangunan. Sila ke URL berikut untuk mengetahui serba sedikit info tentang Friedrich ini dan fakta tentang perancangan & pembangunan Masjid Istiqlal. 



Masjid Istiqlal telah dirasmikan pada 22 hb Februari 1978. Ini bermakna, pada 22 hb Februari tahun hadapan iaitu 2018, genaplah masjid ini 40 tahun.

Sila lihat video youtube di bawah untuk mengetahui fakta dan sejarah tentang Masjid Istiqlal.


Antara yang unik tentang masjid ini adalah rekacipta atau design tempat wuduk. 

wakdan dan rombongan Trip Kembara Terapi Jakarta-Bandung 2017

wakdan dan rombongan Trip Kembara Terapi Jakarta-Bandung 2017
Dengan izin Allah, kami telah bergambar di signboard Masjid Istiqlal sebelum masuk bersolat di dalam masjid sebelum hujan turun menggeluyur bak kata orang Indonesia. Maka adalah kenang-kenangan kami telah melawat Masjid Istiqlal, masjid ke 16 dalam senarai Misi Hj Saleh Solat Di Seribu Masjid.

Tempat mengambil wuduk yang unik bagi Hj Saleh

Istiqlal adalah bahasa Arab yg bermakna Kemerdekaan/Kebebasan

ruang solat di Tingkat 1

ruang solat dengan nampak kubahnya dari dalam

pandangan barisan belakang ruang solat masjid

pandangan kubah dari dalam dan bawah  masjid

tempat menadah ilmu agaknya

bahagian hadapan masjid

Hj Saleh berselfie di bahagian hadapan masjid

snapshot bahagian hadapan masjid dari barisan tengah masjid

ruang solat utama masjid sisi tepi kanan

ruang solat utama masjid sisi belakang

ruang solat utama masjid sisi tepi kiri

tempat wuduk dan toilet
Hj Saleh turut menandatangani Buku Pelawat sebagai kenang-kenangan telah berada di Masjid Istiqlal, Jakarta Indonesia. 

Buku Pelawat

Friday, December 8, 2017

Masjid No 9 - Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya

Kali ini aku nak share tentang Masjid Nombor 9 dalam senarai #MISI HJ SALEH SOLAT DI SERIBU MASJID

Kenapa melompat ke Masjid Nombor 9 eh? Ia berkait dengan khutbah Jumaat tadi di Masjid Di Raja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang menyentuh tentang Raja Haji Fi Sabilillah. Mungkin ramai yang tidak mengetahui siapa beliau. 

Raja Haji adalah dari keturunan Bugis Lima Bersaudara - Daeng Chelak, Daing Merewah, Daing Kemasi, Daeng Perani dan Daeng Menambon. Baginda merupakan adik sebapa berlainan ibu dengan Raja Lumu iaitu Sultan Selangor yang pertama. Bapa mereka adalah Daeng Chelak. 

Raja Haji telah syahid ketika berperang menentang penjajah Belanda di Melaka pada tahun 1784. Baginda telah diberi gelaran Marhum Raja Api Teluk Ketapang kerana dikebumikan di Teluk Ketapang, Melaka setelah mangkat ketika berperang.

Amat jelas masjid yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ketika ini pada 22 hb Jun 2016 diberi nama Masjid Raja Haji Fi Sabilillah adalah untuk memperingati jasa baginda dalam mengembang dan mempertahankan Agama Islam di nusantara ini khususnya Malaysia atau Tanah Melayu.

Berikut adalah sebahagian gambar Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya yang wakdan tangkap menggunakan HP Xiomi Mi Max.

Signboard Besar Masjid

Ruang Solat Yang BerukirCantik
Gabungan warna hijau dan ukiran khat yang sangat cantik dan menawan dengan permaidani indah di ruang solat diharapkan memberi kekhusyukan kepada para jemaah ketika bersolat. 

Kubah Masjid dari sisi pandangan bawah
Daripada foto di atas, ayat apakah yang dipapar dan diukir? Tidak pula wakdan perhatikan dengan teliti.

Pintu Utama Masjid

Beranda Masjid

Direktori Pengurusan
Wakdan sangat tertarik dengan Direktori Pengurusan yang ditampal di papan kenyataan. Tidak banyak masjid yang berkongsi info ini dengan orang ramai. Sebuah masjid yang baharu sahaja berusia setahun lebih diuruskan oleh pegawai-pegawai muda.

Plaque Perasmian Masjid Versi Jawi

Info Pembinaan Masjid

Diagram Masjid

Laman Berbumbung

Menara Masjid Yang Unik

Tempat Duduk Bersantai

Dari Sudut Belakang Sebelah Kanan

Plaque Perasmian Masjid
Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyebrjaya ini telah dirasmikan pada 17 Ramadhan 1437H bersamaan 22 hb Jun 2016 oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj.

Pada waktu Asar Selasa 5 Disember 2017, buat pertama kalinya wakdan menjejakkan kaki ke masjid ini ketika solat Asar. 

Semoga masjid ini akan diimarahkan semaksimum mungkin bersesuaian dengan keindahan dan kemodenannya di mana kos pembinaan masjid melebih 40 juta ringgit.

Insya Allah, wakdan akan singgah bersolat lagi di masjid ini jika berada di Cyberjaya.

#MisiHjSalehSolatDiSeribuMasjid

Nota:
Wakdan perasan masjid-masjid baru di Negeri Selangor diurus dan diimamkan oleh pegawai dan imam yang masih muda. 

Selain itu, info pembinaan seperti kos dikongsi untuk tatapan orang ramai.

TTDI Jaya
8/12/2017

Wednesday, December 6, 2017

Masjid No 1 - Masjid Sultan Abdul Samad KLIA

Masjid nombor 1 bagi MISI SOLAT DI SERIBU MASJID adalah Masjid Sultan Abdul Samad KL International Airport. 

Buat kali pertamanya aku bersolat maghrib di masjid ini pada 1hb November yang lalu. Ketika maghrib hampir menjelang, aku drop off seseorang di KLIA 2.

pintu masuk masjid
Melalui "Pakcik Google", aku mendapat tahu masjid ini dibina pada tahun 1997. Ia telah dirasmikan pada bulan Ogos 2000 oleh Sultan Selangor yang ketika itu adalah Raja Muda Selangor DYMM TENGKU IDRIS SHAH IBNU SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL HAJ. 

masjid dari pandangan hadapan

gambar hadapan masjid yang lebih jelas
Masjid ini telah dinamakan dengan nama Sultan Negeri Selangor yang ke 4 iaitu Sultan Abdul Samad. 

sisi kanan masjid

sisi kiri masjid
Ruang solat yang agak besar. Aku yakin seramai seribu orang boleh bersolat di ruang solat tersebut. Aku juga yakin keindahan masjid ini bisa memberi kekhusyukan yang lebih kepada para jemaah.

ruang solat masjid

Salah satu keunikan masjid ini adalah ada monitor jadual Departures dan Arrivals bagi kemudahan para penumpang yang bersolat dan berehat di masjid ini sesuai dengan lokasinya yang berhampiran dengan airport. 

Aku yakin tidak banyak masjid di dunia ini yang ada kemudahan sebegini.  

monitor jadual pelepasan dan ketibaan kapal terbang
Agak-agak berapa juta telah dibelanjakan untuk pembinaan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA ini?