Tuesday, November 22, 2011

Sudah Semak Status Agama Pada Kad Pengenalan Anda?

Semalam wakdan baca satu artikel di akhbar Sinar Harian yang ingin dikongsi dalam entry kali ini. Ia berkenaan status agama pada kad pengenalan.

Berita tersebut adalah berkenaan seorang lelaki di Pulau Pinang yang bernama Mohd Nordin Mohd Tahir. Dia tidak perasan tentang kesilapan status agama dalam kad pengenalannya. Status agamanya tercatit "Budha" sedangkan beliau merupakan seorang Islam semenjak lahir.

Pakcik tersebut amat terkilan dengan kesilapan yang berlaku kerana melalui semakan yang dibuat, tidak berlaku kesilapan semasa mengisi borang. Dia bercadang hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertanggungjawab terhadap urusan kad pengenalan.

Masalah ini mungkin nampak remeh temeh tetapi mempunyai kesan yang sangat besar terutamanya jika berlaku kematian.

"Mujur saya tahu awal. Kalau saya mati dulu tanpa mengetahui perkara sebenar, apa akan jadi? Pasti semuanya akan jadi kucar kacir.", katanya.

Salah satu moral of the story, sentiasa semak segala butiran setelah membuat sebarang urusan samada di jabatan-jabatan kerajaan atau institusi kewangan.

Pada pengamatan wakdan (termasuk diri sendiri he he), rakyat Malaysia kurang prihatin untuk membuat semakan butiran setelah membuat sesuatu urusan. 

So, anda sudah semak status agama dalam kad pengenalan?


Wednesday, November 16, 2011

Anda Bernikah Di Mana?

Ada dua perkara menarik yang wakdan nak gebang-gebang hari ini sebagai peringatan (tazkirah) kita bersama sebagai umat Islam. Kedua-dua perkara ini dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian dan Kosmo.


Pertama, berkenaan adab-adab di masjid yang tidak dijaga oleh pengantin atau ahli keluarga mereka sewaktu acara pernikahan di masjid. Wakdan dulu pun diakad nikahkan di sebuah masjid di Simpang 5, Sungai Besar iaitu pada tanggal 17 hb November 16 tahun yang lalu. Ya, benar esok merupakan ulang tahun atau anniversary perkahwinan wakdan.

Amat malang sekali jika umat Islam sendiri tidak menghormati institusi masjid dengan tidak menjaga adab apabila berada di masjid.  Apakah contoh-contohnya? Berpakaian menjolok mata, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan terutamanya yang bukan mahram, bising, meninggalkan masjid sebaik tiba waktu bersolat dan tidak menutup aurat. 

Itu belum dikira adab-adab yang lain. Adab-adab yang sewajarnya dilakukan oleh seorang insan muslim. Di antara adab-adab tersebut adalah masuk dengan kaki kanan sambil berdoa, bersembahyang sunat tahyatul masjid dan berada di dalam masjid dalam berwuduk.

Doa masuk masjid

Seharusnya pengantin yang bernikah di masjid menjaga adab-adab seperti berdoa ketika masuk ke masjid. Jika tidak mampu membaca doa yang panjang seperti di atas, bacalah doa yang pendek. Jika tidak ingat bait-bait doa dalam Bahasa Arab, setidak-tidaknya bacalah doa Bahasa Melayunya, "Ya Alah! Bukakanlah pintu-pintu rahmatMU bagiku". Allah sudah sepastinya faham bahasa apa jua di dalam dunia ini.

Diharapkan ahli keluarga pengantin yang lebih tua dan arif tentang adab-adab di masjid agar dapat memberi pesanan, mengajar dan memberitahu tentangnya serta menegur jika dilanggar. Budaya tegur menegur dan pesan memesan telah hilang dari budaya dan amalan kita. Marilah bersama-sama kita kembalikan budaya murni ini demi agama suci kita. 

Kedua, tentang anak luar nikah. Sinar Harian melaporkan bahawa seramai 152, 182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari tahun 2008 hingga 2010. Masya Allah. Bukan satu jumlah yang kecil. Itu hanya yang direkodkan. Yang tidak direkodkan? 

Wakdan amat bersedih kerana Selangor negeri kelahiran telah mencatatkan angka kedua tertinggi di belakang Sabah dengan sejumlah 18, 983 anak haram atau bastard dalam bahasa Inggerisnya.

Apakah maknanya semua ini? 

Mari kita renung-renungkan. Mari kita fikir-fikirkan. Apakah punca-punca kepada masalah ini? Apa yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan jika boleh ke angka sifar jumlah anak luar nikah ini? 

Wallahua'lam.